Blog Archive

Thursday, December 8, 2011

.Kuda Lobak Putih dan Perwira Semangat Hantu.


Dalam kepala Amir sudah membayangkan berbagai-bagai perkara aneh. Agaknya ada naga kepala tujuh sedang membelit Norman. Kalau tidak pun, mesti ada haiwan berwajah buruk dan berilmu tinggi macam dalam cerita Merlin. Ah, payah. Macam mana kalau mereka berdua dipukau menjadi manusia jahat yang akan meranapkan bumi?

Ah, fikiran Amir celaru namun dia masih laju memandu menghala ke kawasan perumahan tempat tinggal Norman. Kurang lima belas minit, kereta milik Amir sudah diparkir betul-betul di tepi rumah Norman. Dia keluar dari kereta,menuju ke ruang hadapan rumah Norman. Pagar tidak berkunci. Setakat ini masih belum ada apa-apa yang kelihatan pelik.

Amir melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Untuk seketika, dia meninjau-ninjau dari luar rumah. Masih tampak seperti biasa. Debaran dalam dada bagai mahu pecah. Perlahan-lahan, dia memicit loceng pada dinding rumah.

Sekali.
Dua kali.
Tiga kali.

Masih belum menunjukkan tanda-tanda bahawa pintu akan dibuka. Amir tarik nafas panjang-panjang. Tahan untuk seketika dan lepas.

Pemegang pintu dipegang kejap.

'Klik!' dengan sekali percubaan tanpa perlu usaha dengan bersusah payah, pintu terbuka. Seluruh tubuh Amir menggeletar. Suasana dalam rumah sangat sunyi. Langsung tiada bunyi. Sepi.

"Norman?" jerit Amir. Suaranya melantun-lantun dalam ruang kecil itu. Gelombang bunyi itu kembali ke telinganya tanpa sahutan. Amir melangkah menuju ke bilik Norman. Lampu terbuka, jelas kelihatan dari celahan pintu yang tidak dikatup rapat.

Amir melangkah dengan lebih berhati. Derap langkahnya langsung tidak berbunyi. Dari celahan pintu dia melihat sekujur tubuh terbaring lesu di atas katil.

Norman!

1 comment: