Blog Archive

Thursday, December 8, 2011

.Kuda Lobak Putih dan Perwira Semangat Hantu.


Dalam kepala Amir sudah membayangkan berbagai-bagai perkara aneh. Agaknya ada naga kepala tujuh sedang membelit Norman. Kalau tidak pun, mesti ada haiwan berwajah buruk dan berilmu tinggi macam dalam cerita Merlin. Ah, payah. Macam mana kalau mereka berdua dipukau menjadi manusia jahat yang akan meranapkan bumi?

Ah, fikiran Amir celaru namun dia masih laju memandu menghala ke kawasan perumahan tempat tinggal Norman. Kurang lima belas minit, kereta milik Amir sudah diparkir betul-betul di tepi rumah Norman. Dia keluar dari kereta,menuju ke ruang hadapan rumah Norman. Pagar tidak berkunci. Setakat ini masih belum ada apa-apa yang kelihatan pelik.

Amir melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Untuk seketika, dia meninjau-ninjau dari luar rumah. Masih tampak seperti biasa. Debaran dalam dada bagai mahu pecah. Perlahan-lahan, dia memicit loceng pada dinding rumah.

Sekali.
Dua kali.
Tiga kali.

Masih belum menunjukkan tanda-tanda bahawa pintu akan dibuka. Amir tarik nafas panjang-panjang. Tahan untuk seketika dan lepas.

Pemegang pintu dipegang kejap.

'Klik!' dengan sekali percubaan tanpa perlu usaha dengan bersusah payah, pintu terbuka. Seluruh tubuh Amir menggeletar. Suasana dalam rumah sangat sunyi. Langsung tiada bunyi. Sepi.

"Norman?" jerit Amir. Suaranya melantun-lantun dalam ruang kecil itu. Gelombang bunyi itu kembali ke telinganya tanpa sahutan. Amir melangkah menuju ke bilik Norman. Lampu terbuka, jelas kelihatan dari celahan pintu yang tidak dikatup rapat.

Amir melangkah dengan lebih berhati. Derap langkahnya langsung tidak berbunyi. Dari celahan pintu dia melihat sekujur tubuh terbaring lesu di atas katil.

Norman!

Tuesday, November 1, 2011

.Kuda Lobak Putih dan Perwira Semangat Hantu.


Amir sibuk mengemas beg memandangkan pengembaraannya bakal bermula esok pagi. Keputusannya untuk turut serta menyertai ekspedisi Norman masih lagi berbolak balik. Dia masih ragu-ragu dengan cerita misteri yang sangat sedikit diketahuinya.

Betulkah mantera itu wujud? Atau sebenarnya ia cuma satu prank!

Amir mencongak-congak tarikh hari ini. Sudah menjangkau bulan November. Bulan April sudah jauh tertinggal kebelakang. Istilah April fool tidak ada kena mengena dengan risalah yang ditemuinya tempoh hari. Lagi pula, bukannya ada sebarang rancangan televisyen yang terbabit berkomplot mengenakan dia. Jika tidak, tentu awal lagi dia sedar. Gadget-gadget kesayangan dia sudah dilengkapi dengan perincian paling bagus setakat ini. Contohnya dia mempunyai satu alat yang mampu mengesan gelombang elektronik dari gadget yang lain. Dalam urusan lain, sistem ini sebenarnya diguna pakai secara meluas untuk program rekreasi. Ianya bagi mengelakkan kecelakaan juga tersesat di dalam hutan sewaktu aktiviti rekreasi sedang dijalankan.

Diam-diam ubi berisi, diam-diam Amir dialah Raja Gadget. Begitulah dia yang sebenar. Semua teknologi canggih tanpa batasan itu sudah enak dalam genggam miliknya. Selaku anak seorang ahli perniagaan, wang sememangnya bukan satu masalah. Ada pen sebatang dan kertas sekeping, segalanya dia boleh tukarkan menjadi wang.

Ini bukan sihir, ini kuasa yang telah ayahnya beli dari seisi dunia. Dan dialah penikmat yang paling beruntung.

Telefon bimbitnya berdering nyaring. Panggilan dari Norman. Butang hijau ditekan lalu telefon bimbit dirapatkan ke corong telinga.

"Amir, datang rumah aku cepat. Ada kecemasan!"

Semua gerak lakunya terhenti sesaat sebelum dia laju-laju mencapai kunci kereta dan memecut ke rumah sahabatnya itu.

Speed trapped? Abaikan. Ia bukan masalah.

Wednesday, October 12, 2011

Kuda Lobak Putih dan Perwira Semangat Hantu.



Amir mengambil kertas buruk yang terselit antara celah helaian buku teks Sejarah milik Norman.

"Eh, apa benda ni?" soal dia dalam hati. Kertas lusuh itu punya tulisan jawi lama yang sudah samar-samar. Buruk betul keadaan fiziknya.

"Hoi, apa kau buat dengan kertas jampi serapah arwah moyang aku tu?"soal Norman. Amir garu kepala. Jampi serapah itu apa? Dia tidak pernah pula mendengar perkataan itu sebelum ini. Mahu ditanya, terasa segan pula. Takut dicanang-canang oleh Norman tentang kebodohan dia yang satu itu. Malu! Mana mahu dicampak ego dia selaku pelajar terpaling pintar di Fakulti Integrasi Serantau.

"Mana kau dapat ni?" soal Amir cuba memancing maklumat dari Norman.

"Itu jampi serapah turun temurun keluarga aku. Selebihnya rahsia." Jawab Norman sambil tersengeh. Amir rasa dipermainkan dengan jawapan sebegitu.

"Dengan aku pun kau tak nak cerita. Kawan baik konon." Ulas Amir geram.

"Ye lah. Aku cerita. Tapi, kau kena janji tak bagitahu pada sesiapa. Leceh kalau wartawan dapat tahu. Aku tak suka propaganda. Kau bukan tak tahu, undang-undang negara kita ini meletakkan sumpah setia untuk berkata benar dan tidak menyimpan rahsia. Aku selaku pembangkang tidak rela privasi aku dikacau kacirkan pihak-pihak Pro-Kerajaan. Aku benci diusung sogok khalayak." Panjang Norman membebel, menegaskan prinsip yang dikongsi bersama teman rapatnya itu.

Amir sekadar angguk kepala. Sangat faham apa yang disampaikan oleh Norman. Selebihnya, hati dia memberontak mahu mengetahui salasilah kisah berkaitan kertas buruk yang didakwa sebagai jampi serapah oleh Norman.

"Kertas ini ialah cerakin pertama dari lima belas cerakin serapah yang diguna pakai sewaktu mahu menyelamatkan negara kita satu masa dulu. Kisah ini tidak akan dapat kau jumpa dalam mana-mana buku teks kerana dikhuatiri mengganggu gugat kesejahteraan negara."

"Mengganggu gugat kesejahteraan negara? Kenapa kau kata begitu?" soal Amir tidak faham.

"Kalau kau sudi temankan aku mengembara mencari empat belas cerakin serapah yang lain, baru aku ceritakan pada kau selebihnya kisah ini." Sogok Norman, sedikit berjual beli urusan dengan Amir.

Amir diam. Dia perlu masa untuk memberikan jawapan.

"Nantilah aku fikir!" Begitu mereka mengakhiri perbualan tentang surat misteri itu.

Thursday, September 29, 2011

Kuda Lobak Putih dan Perwira Semangat Hantu.


Epilog:

Mantra mun mantra men mantra min.

Selonggok lobak putih.
Kubis montel.
Tali.
Terung.
Perca kain.
Seguni bawang besar.


Mulutnya tak henti-henti bergerak. Mata terpejam diselangseli gerak badan yang berayun ke kiri dan ke kanan.

Ptuih!

Ludah berbuih putih di lantai kelihatan jijik. Dia biarkan kejijikan itu. Dia perlu hidup dalam dunia satu lagi agar dapat dia hidupkan pahlawan-pahlawan negara.

Negara dalam keadaan darurat. Bahagian selatan sudah diserang hendap pihak musuh. Ramai rakyat terkorban. Dia tidak mahu dia turut mati.

Ptuih!
Ptuih!
Ptuih!

Makin galak dia meludah, makin laju hayun badannya ke kiri ke kanan, makin rancak gerak kepalanya ke atas dan ke bawah. Tangan yang memegang kayu dengan rambu ekor kuda dihayun makin kuat. Suara yang tadi macam berbisik makin kuat mengerang. Peluh meleleh dari dahi mengalir ke muka dibiar tak berseka.

Man Mun Min;
Aku seru semangat datuk nenek,

datang cepat jiwa pejuang,
aku seru semangat haiwan,
cepat bantu warisan keturunan.

Serang, bangun!
Serang, bangun!
Serang, bangun!

Longgokkan berputar dalam pusaran. Asap berkepul-kepul.

Lobak putih terbang tinggi dan berkumpul membentuk figura kuda. Kubis menjadi pedati. Dan yang lain berkumpul dalam susun atur manusia. Ia dengan cekap menunggang kuda lobak putih. Kuda berbunyi kuat, semacam memanggil semangat yang diseru.

Kuda itu memecut pantas ke selatan.

*****